XBA5347
SEKOLAH
KEBANGSAAN
TAMU DARAT
Sejarah Sekolah
Sekolah Kebangsaan Tamu Darat telah dibuka pada 1954 dengan bilangan murid seramai 43 orang. Sekolah ini telah diasaskan oleh beberapa pemimpin tempatan Kampung Pinasang Tamu Darat iaitu Ketua Kampung Mendiang Surag Pengundar, Mendiang Goroh Tahiron yang bertugas sebagai Ketua Anak Negeri pada masa itu. Seorang lagi ialah Mendiang Tan Chin Nam keturunan Sino-Dusun.
Sekolah ini didirikan dengan kerjasama dan sokongan penduduk beberapa buah kampung. Pada ketika itu hanya sebuah bangunan bilik darjah dan sebuah rumah guru yang didirikan daripada kayu bulat dan bambu beratap nipah. Para penduduk Kampung Tamu Darat, Ratau, Gaur, Losou, Narinang, Koung Malaan, Bayayat dan Narinang telah bergotong royong membina bangunan. Murid yang bersekolah adalah terdiri dari kampung sekitar termasuklah Mangkulat, Pinolobu dan Tuguson. Manakala pentadbiran dan penyeliaan sekolah diurus sepenuhnya oleh Pejabat Daerah Kota Belud.
Nama sekolah Tamu Darat berasal daripada dua perkataan. Perkataan TAMU bermaksud tempat untuk pertukaran barang. Manakala perkataan kedua DARAT membawa maksud Tamu ini terletak di Lembah Sungai Kadamaian atau di darat yang hulunya dari Gunung Kinabalu dan hilirnya di Kuala Abai. Lazimnya masyarakat di bahagian hilir sungai Tempasuk. Menyebut di bahagian hulu dengan perkataan darat. Sekolah yang didirikan ini diberi nama Government Primary School Of Tamu Darat.
Setelah Sabah bersama membentuk Malaysia pada tahun 1963, nama Government Primary School Of Tamu Darat telah diubah kepada Sekolah Rendah Kerajaan Tamu Darat (SRK Tamu Darat) sehinggalah sekarang dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Tamu Darat (SK Tamu Darat).
Pada masa kini, sekolah ini mempunyai 11 buah bilik termasuk Bilik Guru, Pusat Sumber dan Prasekolah. Sekolah ini juga mempunyai enam buah rumah guru dan sebuah Makmal Komputer. Bangunan kantin yang disumbangkan oleh PIBG dan padang permainan yang diusaha sama penjagaannya oleh penduduk kampung.
Guru-gurunya seramai 22 orang dan 5 orang kakitangan AKP. Murid-murid SK Tamu Darat adalah seramai 188 orang, manakala murid prasekolah berjumlah 33 orang (dikemaskini pada Feb 2025). Murid-murid berasal dari Kampung Pinasang Tamu Darat, Kampung Gaur, Kampung Ratau, Kampung Kaung Malaan, Kampung Dudan, Kampung Rajunah, Kampung Bokilong dan Kampung Rangalau.
VISI
Pendidikan Berkualiti
Insan Terdidik
Negara Sejahtera
MISI
Melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara.